lightning-solid
Berita :

Artikel "sidang parlimen" Terkini

RMK-13 Tidak Seiring Realiti Pertanian Terengganu
RMK-13 Tidak Seiring Realiti Pertanian Terengganu
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos – Sasaran pertumbuhan sektor pertanian Terengganu hanya 1.1 peratus dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) disifatkan terlalu rendah dan bercanggah dengan pengumuman besar Kerajaan Persekutuan yang mahu menjadikan negeri itu hab pembangunan ekonomi biru dan hab pengeluaran makanan negara. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim, berkata sasaran itu tidak selari dengan potensi sebenar sektor berkenaan.  "Gema besar tapi sasaran kecil. Agak menghairankan mengenai sasaran dan perancangan di dalam RMK-13 bagi sektor pertanian Terengganu," katanya kepada pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI). Beliau menjelaskan, pengumuman Perdana Menteri di Parlimen berkaitan projek mega itu bercanggah dengan angka sasaran yang terlalu sederhana.  "Ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pembangunan hab ekonomi biru dan pewujudan hab pengeluaran makanan negara melibatkan Negeri Terengganu, purata kadar pertumbuhan tahunan bagi KDNK sektor pertanian negeri ini disasarkan hanya 1.1 peratus. "Sedangkan pertumbuhan KDNK pertanian Terengganu bagi tahun 2023 ialah 7.4 peratus," jelasnya. Menurutnya, subsektor perikanan dan akuakultur merupakan nadi ekonomi rakyat, di samping subsektor tanaman dan penternakan yang semakin berkembang pesat.  "Subsektor perikanan dan subsektor akuakultur adalah merupakan salah satu industri strategik bagi ekonomi rakyat Terengganu.  "Subsektor tanaman dan subsektor penternakan Terengganu juga telah menunjukkan pertumbuhan yang semakin signifikan kebelakangan ini," tambah beliau. Azman turut memetik dapatan Banci Pertanian 2024 yang meletakkan Terengganu sebagai negeri dengan pegangan ternakan dan pertanian tertinggi di Malaysia. "Sebagaimana dapatan dalam Banci Pertanian 2024, Terengganu mempunyai jumlah pegangan ternakan dan pertanian tertinggi dalam negara.  "Kerana itulah, Kerajaan Negeri menyasarkan sektor pertanian Terengganu untuk tumbuh mencecah antara 10.6 hingga 12.0 peratus menjelang tahun 2030," jelasnya lagi. Beliau menegaskan unjuran itu adalah realistik dan berasaskan data sebenar di lapangan, sekali gus lebih tinggi berbanding sasaran RMK-13.  "Ia adalah sasaran yang realistik berdasarkan fakta dan data di lapangan. "Kalau sekadar mensasarkan pertumbuhan KDNK pertanian Terengganu pada kadar 1.1 peratus maka ia tak sepadan dengan gema kuat pengumuman untuk menjadikan Terengganu sebagai hab pembangunan ekonomi biru dan hab pengeluaran makanan negara," tegasnya. Beliau menyeru supaya perancangan pembangunan sektor pertanian negeri dipacu ke hadapan dan tidak mundur kebelakang.  "Kita perlu berjalan ke hadapan dan bukannya mengundur ke belakang. "Saya menyokong penuh ucapan perbahasan RMK-13 Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar merangkap Ahli Parlimen Kemaman," ujarnya.
11 Aug 25
515
MP Besut Suarakan Kebimbangan Cadangan Luaskan PKW Kepada Pesalah Jenayah Berat
MP Besut Suarakan Kebimbangan Cadangan Luaskan PKW Kepada Pesalah Jenayah Berat
KUALA LUMPUR, 29 Julai - Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh menyuarakan kebimbangan mengenai cadangan kerajaan bagi meluaskan pelaksanaan Perintah Kehadiran Wajib (PKW) sehingga melibatkan pesalah jenayah berat menerusi pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perintah Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah 2025 yang dibahaskan di Dewan Rakyat, semalam. Beliau menyuarakan kebimbangan terhadap pindaan Seksyen 5(1) RUU itu kerana memperuntukkan kelayakan PKW kepada pesalah yang berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun, berbanding sebelum ini yang hanya terhad kepada kesalahan ringan. “Kalau dulu PKW hanya untuk kesalahan kecil, sekarang nak diperluas sampai melibatkan cubaan membunuh bawah Seksyen 307 dan kes keselamatan bawah Seksyen 130ZA Kanun Keseksaan. Ini pindaan yang terlalu drastik,” tegasnya. Katanya lagi, langkah tersebut bukan sahaja boleh menjejaskan prinsip keadilan, malah turut berisiko melemahkan elemen pencegahan dalam sistem perundangan negara. Katanya, konsep zajr atau pencegahan dalam Islam amat penting dalam memastikan sesuatu hukuman memberi kesan mendidik dan memberi pengajaran kepada pelaku jenayah. Beliau turut mempertikaikan kewajaran menjadikan PKW sebagai pengganti sepenuhnya kepada hukuman penjara, denda atau penalti lain, walaupun memahami keperluan kerajaan mengurangkan kadar kesesakan penjara. “Kalau PKW dilaksana sebagai ganti sepenuhnya, ia boleh melemahkan elemen pengajaran dan pembalasan. Dalam banyak kes jenayah, ada mangsa. Kita tak boleh abaikan hak moral mereka untuk mendapat keadilan,” katanya. Jelasnya lagi, sebarang pelaksanaan PKW perlu seimbang dengan prinsip islah atau pemulihan, dan tidak boleh terlalu ringan sehingga menafikan hak mangsa. Beliau mencadangkan agar pelaksanaan PKW dilakukan sebagai sebahagian daripada hukuman campuran, contohnya dengan mewajibkan pesalah menjalani tempoh minimum penjara terlebih dahulu sebelum dipertimbangkan untuk PKW sebagai fasa pemulihan. Selain itu, Che Mohamad Zulkifly turut mencadangkan agar program PKW merangkumi modul pendidikan, kaunseling serta bimbingan agama khususnya kepada pesalah Muslim, dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan. Pendekatan menyeluruh ini katanya akan memastikan prinsip keadilan Islam yang menyeimbangkan antara pencegahan dan pemulihan benar-benar diterapkan. Beliau turut mempersoalkan sejauh mana keberkesanan pelaksanaan PKW sejak ia diperkenalkan, termasuk status pusat-pusat PKW yang diwujudkan. Menurut beliau, pada tahun 2022, Ketua Pengarah Penjara pernah memaklumkan bahawa hanya terdapat 52 pusat PKW. “Sekarang dah tiga tahun, berapa yang telah dibina? Dah capai sasaran 100 pusat ke belum? dan adakah kesesakan penjara benar-benar satu isu berskala nasional, atau hanya tertumpu kepada negeri-negeri tertentu?,” soalnya. Beliau menegaskan bahawa kerajaan perlu mengemukakan data dan statistik rasmi bagi menyokong pindaan undang-undang ini agar ia tidak dilihat sebagai tergesa-gesa tanpa asas yang kukuh. Menutup ucapannya, beliau secara berseloroh menyentuh perhimpunan aman yang dianjurkan pembangkang baru-baru ini sambil memuji perubahan pendekatan yang ditunjukkan para peserta. “Alhamdulillah, tidak berlaku kereta terbalik, tidak disembur ‘water canon’. Kita telah mendidik mereka untuk berdemonstrasi secara aman,” katanya. Beliau menyifatkan perkembangan itu sebagai tanda kematangan demokrasi dalam kalangan rakyat dan berharap ia menjadi contoh kepada semua pihak yang mahu menyuarakan pandangan secara tertib dan bertanggungjawab.
29 Jul 25
78