Artikel "royalti" Terkini
Senator DAP Desak Persekutuan Salur Royalti Terus Kepada Kerajaan Terengganu
KUALA LUMPUR, 5 Mac - Senator DAP, Dato' Kesavadas A. Achyuthan Nair, menegaskan bahawa pembayaran baki royalti minyak kepada kerajaan negeri Terengganu perlu dilakukan secara langsung demi memastikan kebajikan rakyat negeri itu terjamin serta memperkukuh pembangunan ekonomi negara.
Dalam sesi perbahasan di Dewan Negara, beliau mengakui kepentingan Akta Kemajuan Petroleum 1974 serta perjanjian yang dimeterai antara kerajaan negeri dan Petronas sejak 1978.
Menurutnya, rakyat Terengganu berhak menerima manfaat penuh daripada hasil minyak dan gas yang diperoleh dari perairan negeri tersebut.
“Terengganu dan seluruh rakyatnya berpegang bahawa minyak dan gas yang diperolehi di perairan Terengganu adalah hak negeri ini sejak 1978.
“Saya juga percaya dengan pembayaran baki royalti itu, kerajaan negeri dapat menambah hasil negeri yang seterusnya membantu menjaga kebajikan rakyat selain memberikan impak positif kepada pembangunan ekonomi negara,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan mengapa wang hasil petroleum tersebut tidak disalurkan terus kepada kerajaan negeri, sebaliknya diberikan kepada pihak ketiga.
Baginya, ketelusan dalam pembayaran royalti adalah penting agar hak negeri tidak dinafikan.
Sementara itu, Ahli Dewan Negara Terengganu, Senator Hussin Ismail menyatakan bahawa isu royalti itu bukan sekadar hak rakyat Terengganu, tetapi telah termaktub dalam perjanjian sah yang dimeterai antara kerajaan negeri dan Petronas.
"Perjanjian itu turut disaksikan oleh Menteri Kewangan ketika itu," tegasnya.
Menjawab perkara tersebut, Kesavadas mengesahkan bahawa Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan perjanjian berkaitan memang termaktub dalam dokumen rasmi dan beliau tidak menafikan fakta tersebut.
Namun, beliau tetap menegaskan bahawa kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu bekerjasama dalam memastikan ekonomi negara berkembang dengan baik.
“Saya beranggapan sekiranya tiada kerjasama yang baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan, maka amat susah, sukar untuk membangunkan ekonomi negara,” tambahnya.
05 Mar 25
2484
Dr. Sam Bawa Keluhan Rakyat di Rumah Terbuka Madani
Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar membawa keluhan, pandangan dan harapan rakyat di Majlis Sambutan Aidilfitri Madani peringkat negeri semalam.
12 May 24
408
Pasukan Hoki Terengganu Lakar Sejarah Baru
Pasukan Hoki Terengganu (THT) melakar sejarah 9 tahun penubuhannya apabila muncul juara 'treble' bagi tahun 2023 setelah menang tipis 2-1 ke atas seteru utama, Pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam perlawanan akhir Piala TNB 2023.
20 Mar 23
234
Kerajaan Negeri Sokong Penuh Hasrat SKM Bantu Belia Koperasi
BESUT, 31 Mac - Kerajaan negeri menyokong penuh usaha baik Suruhanjaya Koperasi Malaysia Terengganu (SKM) menjadikan koperasi sebagai penyumbang ekonomi dan mengharapkan ia dapat direalisasikan.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro & Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, dalam memastikan usaha kerajaan itu berjaya, SKM mengambil inisiatif mengadakan Program Belia Berkoperasi di negeri Terengganu dengan mengumpul belia dan beliawanis di daerah Besut bagi memberi kesedaran kepada masyarakat terutamanya di kalangan belia mengenai kewujudan koperasi dan kepentingan golongan iyu dalam membantu menambahkan pendapatan ekonomi masyarakat.
“Matlamat utama adalah mewujudkan koperasi bagi membolehkan mencapai objektif program terutamanya dalam meneraju tranformasi generasi belia melalui Gerakan Koperasi serta dapat menerapkan budaya berkoperasi di kalangan belia," katanya.
Beliau berkata demikian dalam dalam ucapan perasmiannya di Tanjung Demong Resort, Besut.
Ia selari dengan hasrat kerajaan dan dasar keusahawanan negara yang merupakan suatu garis panduan yang akan menjadi hala tuju kepada agenda pengukuhan keusahawanan peringkat nasional. Ia adalah salah satu usaha kerajaan untuk mempercepatkan kadar pertumbuhan dan pembangunan ekonomi negara khususnya membabitkan penglibatan aktif daripada usahawan koperasi dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) tempatan.
"Ia juga akan menjadi pemangkin buat kita untuk mencapai 41 peratus sumbangan sektor keusahawanan kepada pertumbuhan ekonomi negara," jelasnya.
Nurkhuzaini mengharapkan agar gerakan koperasi mampu berjaya menjadi pemangkin serta agen penggerak utama dalam pembangunan ekonomi negara serta membantu rakyat jelata, khususnya di negeri Terengganu.
"Terima kasih SKM kerana menganjurkan program seperti ini dan menatijahkan perkara yang baik," ujarnya.
28 Mar 21
385
Pemotongan Royalti Minyak Terengganu Dikurangkan
KUALA TERENGGANU, 27 April - Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk mengurangkan pemotongan 25 peratus kepada lima peratus daripada royalti minyak atau Wang Tunai Petroleum (WTP) yang diterima Terengganu.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebelum ini potongan 25 peratus dibuat terhadap bayaran royalti minyak itu bagi tujuan pembayaran hutang kerajaan negeri.
"Hari ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kewangan, Tengku Dato' Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bersetuju mengurangkan kadar pemotongan bayaran hutang negeri Terengganu.
"Iaitu daripada 25 peratus kepada lima peratus pada tahun 2020 daripada bayaran Wang Tunai Petroleum (WTP)," katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasminya hari ini.
Pada 16 April lalu, Ahmad Samsuri dalam bual bicara di Bernama TV memaklumkan, pihaknya telah membuat permohonan agar Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan semula pemotongan 25 peratus hutang kerajaan negeri menerusi WTP.
"Ia bagi membolehkan kerajaan negeri memberi tumpuan yang lebih khusus kepada keperluan rakyat negeri ini terutama ketika menghadapi kesan penularan pandemik COVID-19," ujarnya.
Tambah beliau, sejak Mei 2018 kerajaan negeri yang menerima lima peratus WTP dari kerajaan Persekutuan sudah membayar hutang berjumlah kira-kira RM400 juta, melalui pemotongan WTP yang diterima dua kali setahun.
Terengganu dijangka akan menerima bayaran pertama royalti minyak sebanyak RM700 juta iaitu kiraan kasar sebelum pemotongan hutang sebanyak 25 peratus.
Bayaran tersebut dilakukan sebanyak dua kali iaitu pada awal dan akhir tahun.
27 Apr 20
393