lightning-solid
Berita :

Artikel "Derma Darah" Terkini

Kempen Derma Darah di DMR Berjaya Kumpul 37 Beg Darah
Kempen Derma Darah di DMR Berjaya Kumpul 37 Beg Darah
KUALA TERENGGANU, 28 Oktober – Kempen Derma Darah anjuran Duyong Marina & Resort (DMR) Terengganu berjaya mengumpulkan sebanyak 37 beg darah. Program yang berlangsung meriah di Duyong Convention Centre, Duyong Marina & Resort itu merupakan inisiatif penting dalam membantu Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) memenuhi keperluan bekalan darah bagi pesakit di hospital. Pengurus Besar DMR, Wan Mohd Faizul Wan Abas berkata, beliau gembira atas kejayaan program tersebut kerana bukan sahaja mencapai sasaran yang ditetapkan tetapi turut berjaya menarik penyertaan pelbagai agensi serta masyarakat setempat. Beliau menyatakan bahawa pencapaian itu menunjukkan sokongan padu masyarakat dalam membantu meningkatkan bekalan darah bagi kegunaan pesakit di HSNZ. “Kami sangat berpuas hati dan bersyukur dengan perjalanan program ini. Melalui kempen ini, objektif utama kami bukan sahaja tercapai, tetapi juga berjaya mengukuhkan kesedaran awam mengenai kepentingan menderma darah dalam menyelamatkan nyawa. “Ini adalah satu langkah penting untuk memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi demi memenuhi keperluan mereka yang memerlukan,” jelasnya Kata beliau, program berkenaan bukan sahaja menarik kehadiran individu tetapi turut mendapat sokongan daripada pelbagai organisasi. "Antara agensi yang menyokong penuh kempen ini termasuklah Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pulau Duyong, Jabatan Pelancongan Terengganu dan syarikat swasta seperti Aims Global. "Kehadiran mereka membantu memeriahkan suasana kempen dan menunjukkan sokongan mereka terhadap usaha murni ini. "Selain aktiviti utama menderma darah, kempen ini juga menawarkan pelbagai perkhidmatan tambahan bagi memberi manfaat kepada para pengunjung," katanya. Tambah Wan Faizul, syarikat kesihatan, GPharmax, turut serta dengan menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma sekali gus memberi peluang kepada masyarakat untuk memeriksa tahap kesihatan mereka.  "Di samping itu, reruai Cakna Management Sdn. Bhd. turut memeriahkan kempen dengan mempamerkan kepakaran mereka dalam bidang pengurusan dan penganjuran acara.  "Kehadiran syarikat-syarikat ini menjadikan kempen ini bukan sahaja bermakna, tetapi juga satu platform untuk meningkatkan kesedaran kesihatan," jelasnya. Wan Mohd Faizul menambah bahawa kempen ini telah berjaya mencetuskan impak positif dalam kalangan masyarakat setempat dan menggalakkan lebih ramai untuk tampil menderma darah pada masa akan datang.  Menurut beliau, sambutan hangat yang diterima adalah bukti kepedulian masyarakat terhadap isu-isu kesihatan dan kesedaran betapa pentingnya untuk bersama-sama membantu mereka yang memerlukan. “Respon yang diterima sangat positif. Kehadiran ramai ini memberi inspirasi kepada kami untuk terus menganjurkan program-program seperti ini di masa akan datang, demi manfaat masyarakat keseluruhannya. Sambutan luar biasa daripada pelbagai organisasi dan masyarakat setempat memberi semangat baharu kepada kami,” ujar beliau lagi.  
29 Oct 24
131
Pasukan Hoki Terengganu Lakar Sejarah Baru
Pasukan Hoki Terengganu Lakar Sejarah Baru
 Pasukan Hoki Terengganu (THT) melakar sejarah 9 tahun penubuhannya apabila muncul juara 'treble' bagi tahun 2023 setelah menang tipis 2-1 ke atas seteru utama, Pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam perlawanan akhir Piala TNB 2023.
20 Mar 23
234
Sekali Ganda Dari Sasaran, 178 Pek Darah Terkumpul
Sekali Ganda Dari Sasaran, 178 Pek Darah Terkumpul
BESUT, 28 Julai - Kempen Derma Darah di Besut berjaya memperolehi 178 pek darah menjadikan suatu rekod baharu bagi kempen derma darah di Dewan Gong Nering, Jerteh. Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Jerteh, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad berkata, seramai 264 orang mendaftarkan diri sepanjang program berlangsung tetapi sebanyak 178 orang sahaja yang lulus berdasarkan saringan awal yang dilakukan. "Saya difahamkan misi kali ini berjaya melebihi target yang dibuat oleh pihak Tabung Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, yang sebelum ini merekodkan hanya di bawah 100 pek di dewan ini. "Saya merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada seluruh sekretariat yang menjayakan program kali ini, seperti Jabatan Amal Malaysia di bawah Dewan Pemuda PAS Kawasan Besut, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Gong Nering dan lain-lain," katanya. Ustaz Wan Azhar juga mengucapkan penghargaan kepada penderma dan mereka yang berhasrat untuk menderma namun tidak dapat menyumbang pada program tersebut. "Semoga sumbangan kita ini akan membantu pihak Tabung Darah yang berada dalam situasi yang agak kritikal," katanya ketika ditemui pemberita. Sementara itu, menurut Penolong Pegawai Penerangan, Tabung Darah HSNZ, Suriyati Md Ghani berkata, Kelantan dilaporkan kekurangan darah pada 25 Julai lalu dan Tabung Darah HSNZ telah memberi 50 pek darah sebagai bantuan segera buat mereka. "Harapan kami agar program seperti ini dapat dibuat secara berterusan bagi menampung bekalan darah hospital. Kerjasama yang baik ini memberi manfaat untuk semua, terima kasih," katanya. Program itu berlangsung selama dua hari pada 26 dan 27 Julai bermula jam 9 pagi sehingga 2 petang. Pendaftaran telah dibuat melalui maya dan secara terus di dewan tersebut. Sementara itu, salah seorang penderma, Musa Hakimi Mohd Hamdan, 23, berkata, dia baru sahaja tiga kali menderma sejak tahun 2017. "Saya berasa simpati terhadap mereka yang kurang bernasib baik terutama mereka yang kehilangan darah, jadi ini mendorong saya untuk menderma," jelasnya. Dalam perkembangan sama, penderma diingatkan untuk mendapatkan rehat yang cukup serta sihat tubuh badan dan bebas penyakit bagi menyertai program derma darah.
28 Jul 21
128