lightning-solid
Berita :

Artikel "Belia" Terkini

110 Ahli MPBN Bersidang Bincang Hala Tuju Belia Negara
110 Ahli MPBN Bersidang Bincang Hala Tuju Belia Negara
KUALA TERENGGANU, 28 Julai – Seramai 110 Ahli Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Peringkat Negeri Terengganu memulakan persidangan mereka di Dewan Kompleks Belia dan Sukan Negeri Terengganu hari ini, bagi membincangkan hala tuju pembangunan belia di negeri dan negara. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim, berkata MPBN yang ditubuhkan sejak 1971 oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berperanan sebagai wadah utama menyuarakan inspirasi serta pandangan belia, sekali gus menjadi platform penting untuk menyelaras dasar pembangunan generasi muda. “Majlis ini bukan sekadar pertemuan rasmi, tetapi satu sesi libat urus dan persidangan intelektual yang menggabungkan kerjasama serta sinergi antara kerajaan dengan kepimpinan pertubuhan belia. “Melalui platform ini, setiap pandangan, idea, teguran dan cadangan daripada golongan belia dapat disalurkan secara berkesan, sekali gus diterjemahkan kepada dasar dan tindakan yang lebih dinamik,” katanya ketika merasmikan MPBN Peringkat Negeri Terengganu, Sidang Pertama Penggal Ke-35 Sesi 2025–2026, di sini, hari ini.  Hadir sama, Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Terengganu, Dato’ Abdul Kahar Abdul Latif; Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Asmadi Mohamad; serta Presiden Majlis Belia Negeri Terengganu, Anas Hazizul Muhamad. Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata, MPBN terbukti berkesan memainkan peranan dalam merangka hala tuju pembangunan belia sejak penubuhannya. “Bagi memperkukuh peranan tersebut, MPBN turut diperluas ke peringkat daerah bagi meneliti secara lebih dekat intipati, permasalahan serta idea berkaitan pembangunan belia di peringkat akar umbi,” katanya. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Kerja MPBN yang terdiri daripada Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, badan gabungan dan urus setia persidangan yang telah memastikan kelancaran penganjuran. “Saya ucapkan tahniah kepada semua pihak yang telah merancang dan menjayakan persidangan yang penuh bermanfaat ini,” katanya.  
28 Jul 25
98
'My Safe Road' Usaha Kurangkan Kadar Kemalangan Kalangan Belia
'My Safe Road' Usaha Kurangkan Kadar Kemalangan Kalangan Belia
KUALA TERENGGANU, 12 Mac - Kerajaan Terengganu telah mengadakan perbincangan dengan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengenai 'My Safe Road Terengganu' dalam usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan di negeri Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan(NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, apa yang merisaukan adalah golongan belia mencatatkan angka tertinggi dalam kemalangan jalan raya di Terengganu yang kebiasaannya merupakan pengguna motosikal. "Insya-Allah, pihak Kerajaan Negeri amat berbesar hati atas usaha kerjasama ini dan akan membuka ruang buat pihak JPJ terlibat sama dalam aktiviti melibatkan belia. "Dalam usaha memberikan kesedaran semasa (ketika) berada di jalan raya," ujarnya melalui satu kenyataan, di sini, semalam. Dalam pada itu beliau merakamkan penghargaan terima kasih kepada Pengarah JPJ negeri Terengganu bersama delegasi pihak terbabit yang telah mengadakan kunjungan hormat  di Wisma Darul Iman, bagi membincangkan usaha mengurangkan kemalangan di negeri Terengganu.  
12 Mar 25
125