Artikel "Utama" Terkini
Penduduk Uzur Syukur Tidak Putus-putus Terima Bantuan Air
KUALA NERUS, 3 September - Wajah redha dan lega jelas terpancar daripada penduduk uzur dan kurang berkemampuan setelah menerima bekalan air sementara dan bantuan air mineral sejak 28 Ogos lalu.
Sumbangan tersebut sebahagian daripada inisiatif bernilai RM1.25 juta kepada setiap rumah yang diagihkan secara berperingkat melalui Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN), Penyelaras dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) masing-masing.
Salah seorang penduduk tersebut adalah Abd Rahman Said, 56, yang telah dua tahun menghidap strok dan tidak mampu lagi berjalan akibat lumpuh.
Isteri kepada tukang rumah tersebut, Noor Azlina Awang, 46, berkata, bantuan air mineral sedikit sebanyak dapat memenuhi keperluan suami bersama seorang anak yang menetap serumah di Kampung Bukit Berangan.
“Setakat ini bantuan disampaikan mencukupi buat kami sekeluarga, selain daripada air yang disalurkan petugas Mobile Team Tepoh, kita juga menggunakan air mandi telaga dengan pam elektrik bagi keperluan harian,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPD) selepas menerima bantuan air daripada Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim di rumahnya hari ini.
Sementara itu, sepasang suami isteri, Nor Azura dan Muhammad Suhaimi Mahmud turut menyuarakan rasa syukur apabila lima karton bekalan asas tiba buat kegunaan bapa saudaranya, Mansor Awang, 70 yang terlantar akibat strok.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang bersama Tepoh menyampaikan air kepada keluarga Muhammad Suhaimi Mahmud
“Alhamdullilah, boleh dikatakan bekalan air setakat ini tidak putus buat kami enam orang sekeluarga hasil bantuan petugas DUN Tepoh dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat.
“Buat masa kini, kami bergantung kepada tangka statik yang berdekatan di surau Kampung Bukit Berangan buat kebersihan diri dan sebagainya.
“Jika kita lihat situasi sekarang ini, saya masih bersabar, nak buat macam mana, buat masa bekalan air harian kami masih bertahan,” jelas Azura yang juga seorang suri rumah.
Warga emas turut diberi perhatian seperti Sudin Awang, yang tidak risau lagi setelah mendapat kelima-lima karton air.
“Air minum cukup buat saya bersama anak lelaki di sini, memang tidak perlu bimbang lagi,” katanya yang berusia lingkungan 100-an.
Dalam pada itu, Tengku Hassan yang juga ADUN Ladang berkata, pelbagai pihak termasuk wakil rakyat dan sukarelawan telah mengerahkan tenaga bagi meringankan masalah air dihadapi masyarakat di enam DUN terlibat
Terbaharu, tiga unit alat Variable Field Drive (VFD) telah tiba di Terengganu bagi mengaktifkan pam untuk mengalirkan air dari Pulau Bahagia ke Loji Baru Bukit Berapit berkapasiti 60mld.
03 Sep 21
859
Alat Kawalan Pam Air Dari Jepun Tiba Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 3 September - Tiga unit alat kawalan pam, Variable Frequency Drive (VFD) yang akan digunakan dalam menyelesaikan masalah air di Kuala Nerus dan sebahagian daerah ini, tiba di Terengganu hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, alat dari Jepun itu berfungsi untuk mengaktifkan pam dan mengalirkan air dari Pulau Bahagia.
”Alat ini untuk mengaktifkan pam untuk mengalirkan air dari Pulau Bahagia ke Loji Baru Bukit Berapit berkapasiti 60mld.
“Seterusnya menyalurkan air bersih ke tangki Bukit Berangan yang bermasalah sekarang. Mudah-mudahan dapat di laksanakan segera berkat doa 28,700 pemilik akaun air di Kuala Nerus dan sebahagian Kuala Terengganu,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini.
Dr Mamad turut memaklumkan, bekalan air dijangka pulih dalam masa lapan hingga 10 hari lagi.
03 Sep 21
1029
Gangguan Air Tak Halang Sektor Perindustrian Beroperasi
KUALA NERUS, 3 September - Sektor ekonomi di Kawasan Perindustrian Gong Badak tidak mengalami sebarang kesan teruk akibat Insiden Air Berangan 2.0.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar berkata, pihak kerajaan bersama pelbagai agensi dan sukarelawan sedang menumpukan segala tenaga serta jentera dalam memastikan bekalan air tidak terputus.
“Jika pengusaha sektor komersial tersebut berada dalam situasi kritikal, maka mereka boleh memohon sokongan air daripada Syarikat Air Terengganu (SATU). Boleh dikatakan syarikat beroperasi berkemampuan untuk atasinya dengan sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas tinjauan dan kerja bantuan Misi Bantuan Air di Dewan Serbaguna Tepoh, hari ini.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim dan Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman.
Sementara itu, beliau yang juga ADUN Ladang turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada DUN Tepoh bagi membantu kawasan dengan jumlah rumah paling terkesan dalam kalangan enam DUN.
“Alhamdullilah, saya bertanya dengan wakil rakyat disini bekalan air minuman sedang diagihkan dalam dua fasa, namun begitu kami dari kawasan Ladang akan bantu bila perlu.
“Meskipun ada segelintir masyarakat tertekan, namun kebanyakan mereka berpuas hati, Insya-Allah kerajaan negeri akan teruskan usaha pembahagian air mengikut bilangan rumah tidak mengira latar belakang,” katanya lagi.
Terdahulu, Kerajaan negeri memperuntukkan RM2.5 juta bagi membaik pulih paip dasar sungai Tangki Berangan yang pecah dan patah dalam dua kejadian berasingan dan dijangka tamat pada 12 September.
03 Sep 21
259
ADUN Sediakan Dobi Layan Diri Percuma Bantu Penduduk Terjejas
KUALA NERUS, 3 September - Memahami ramai penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh mengalami kesukaran akibat bekalan air terjejas, wakil rakyatnya menyediakan dobi layan diri percuma khas untuk digunakan oleh rakyat di sini sepanjang ketiadaan bekalan air bermula Sabtu.
Hishamuddin Abdul Karim berkata, beliau mengambil maklum terhadap aduan dan keluhan rakyat yang mengalami kepayahan untuk membasuh pakaian keluarga masing-masing.
"Insya-Allah, bermula esok pagi (Sabtu) kami akan memulakan khidmat berkenaan yang disediakan secara percuma buat mana-mana mereka yang ingin menggunakannya.
"Jemput datang ke Pusat Khidmat Masyarakat DUN (PKMD) Tepoh selepas ini untuk membasuh pakaian dimana telah diletakkan empat unit mesin basuh automatik," ujarnya melalui facebook rasminya.
Hishamuddin berharap dengan insiatif yang disediakan itu sedikit sebanyak dapat membantu penduduk dalam memudahkan segala urusan mereka sementara kerja membaik pulih paip dasar sungai Tangki Berangan yang pecah dan patah diselesaikan.
Terdahulu, Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato'Sri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam lawatanya ke lokasi paip dasar Sungai Tangki Berangan semalam berkata proses penggantian paip akan dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat seperti dirancang.
03 Sep 21
1272
COVID-19 : Terengganu Catat 16 Jangkitan Varian Delta, Beta
KUALA TERENGGANU, 3 September - Sebanyak 16 kes jangkitan melibatkan Variant of Concern (VOC) virus SARS-CoV-2 dilaporkan di negeri Terengganu sehingga semalam.
Daripada kes yang dilaporkan, tujuh kes melibatkan varian Delta (B.1.617.2) dan sembilan kes varian Beta (B.1.351) sejak ia mula dikesan akhir Julai lalu.
Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, kewujudan varian ini memerlukan tindakan kawalan yang lebih teliti kerana kadar jangkitannya lebih cepat.
"Daripada jumlah itu, empat kes VOC direkodkan di Kuala Terengganu, Hulu Terengganu (4), Marang (3), Kemaman (2) dan masing-masing satu kes di Setiu, Dungun dan Besut.
"Tindakan kawalan juga dilakukan dengan lebih cepat seperti memastikan pesakit dikuarantin dengan betul serta mengasingkan segera pesakit dan kontak rapat yang dikesan, katanya kepada pemberita.
Dr Kasemani berkata, bagi mengurangkan risiko daripada dijangkiti VOC Covid-19, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menasihatkan orang ramai termasuk individu yang telah menerima vaksinasi supaya terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan.
"Elakkan kawasan yang sesak dan sempit serta jangan bersembang dengan jarak yang dekat.
"Sentiasa amalkan 3W (wash, wear dan warn). Duduk di rumah dan hanya keluar jika ada urusan penting, katanya mereka yang bergejala perlu ke klinik dengan segera untuk diambil sampel,"ujarnya.
03 Sep 21
2872
Vaksinasi 'Walk-In' Kini Di 14 PPV Di Terengganu Bermula Ahad Ini
KUALA TERENGGANU, 3 September - Rakyat negeri ini yang masih belum menerima vaksinasi Covid-19 boleh berbuat demikian dengan hadir secara 'walk-in' ke semua 14 pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh daerah, bermula Ahad.
Jabatan Kesihatan negeri dalam kenyataan berkata, langkah itu bertujuan meningkatkan lagi jumlah penerima sekali gus mencapai imuniti kelompok yang disasarkan.
Katanya, bagi daerah ini PPV yang terlibat ialah di Taman Tamadun Islam (TTI) dan Pusat Dagangan Terengganu (TTC) manakala Dewan Al-Muktafi Billah Shah di Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) bagi Kuala Nerus dan Dewan Serbaguna Sungai Tarom (Setiu) di samping Dewan Gong Kemuntung dan Kota Putra Square (Besut).
“Di Kemaman pula ialah PPV Dewan Datuk Seri Amar Diraja dan Dewan Sivik Kertih diikuti di Dungun membabitkan Dewan Aspirasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Dewan Dagang Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA).
“Bagi daerah Marang ialah di Dewan Majlis Daerah Marang (MDM) dan Dewan Sivik Bukit Payung manakala di Hulu Terengganu pula di PPV Dewan Majlis Daerah di Kuala Berang dan Ajil,” kata kenyataan itu di laman Facebook hari ini.
Kenyataan itu berkata, vaksinasi secara walk-in itu bagaimanapun terbuka kepada mereka yang berumur 18 tahun ke atas, pemastautin di Terengganu sahaja, belum mendaftar melalui MySejahtera, belum mendapat janji temu di samping terlepas janji temu.
Menurutnya, waktu operasi vaksinasi walk-in bermula dari pukul 9 pagi hingga 4 petang tertakluk kepada slot yang disediakan.
Sehingga semalam sebanyak 84.8 peratus daripada populasi negeri sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.
03 Sep 21
1056
COVID-19 Di Terengganu Dijangka Terus Meningkat
KUALA TERENGGANU, 3 September - Terengganu mencatatkan jangkitan baharu COVID-19 sebanyak 987 kes semalam iaitu angka tertinggi sejak pandemik itu bermula dan dijangka terus meningkat dalam masa dua minggu akan datang.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Dato' Dr Kasemani Embong berkata peningkatan kes itu disebabkan beberapa faktor termasuk saringan pengesanan kes aktif (ACD) bersasar di beberapa lokaliti di seluruh negeri.
Katanya, daripada jumlah itu, Kuala Terengganu merekodkan kes tertinggi iaitu 266 kes diikuti Marang (171), Besut (166), Kemaman (117), Kuala Nerus (100), Dungun (86), Hulu Terengganu (42) dan Setiu (39).
"Selain itu, peningkatan juga kerana kita melakukan saringan wajib kemasukan ke penjara dalam kalangan Orang Kena Tahan (OKT), saringan pekerja dari tapak bina, aktiviti merentas negeri dan juga aktiviti perkumpulan.
"Susulan aktiviti pengesanan secara besar-besaran ini, kita menjangka peningkatan kes akan terus berlaku dalam masa dua minggu akan datang," katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Dalam pada itu, Dr Kasemani berkata penguatkuasaan akan terus ditingkatkan bagi memastikan amalan norma baharu dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi secara optima.
Jelasnya, JKNT akan memastikan aktiviti penguatkuasaan dijalankan di premis tertentu seperti tempat kerja, perniagaan dan tapak bina
"Orang ramai diminta terus patuhi SOP walaupun Terengganu berada di Fasa Dua PPN (Pelan Pemulihan Negara). Sekiranya tiada urusan mustahak, terus kekal berada di rumah,"katanya.
Untuk rekod, sehingga semalam, Terengganu mempunyai 6,224 kes positif COVID-19 dan jumlah kumulatif pula ialah sebanyak 34,985 kes.
03 Sep 21
6553
Muafakat Nasional Masih Kekal - Tuan Ibrahim
KUALA TERENGGANU, 2 September - “Kerajaan yang ada ini adalah gabungan tiga parti dan kita mahu terus kekal dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU-15) akan datang,” ujar Timbalan Presiden Pas, Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Katanya, gabungan tiga parti iaitu PAS, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) masih kekal dan perjumpaan terakhir semua pemimpin gabungan tiga parti adalah beberapa hari sebelum pembentukan kerajaan pada 17 Ogos lalu.
"Sebelum ini pertemuan dengan UMNO hanya dilakukan secara dalam talian berikutan pandemik Covid-19, namun hubungan kita terus berjalan.
"Cuma mesyuarat rasmi Muafakat Nasional(MN) yang pertama selepas pembentukan Kabinet baharu dijangka dilakukan dalam masa terdekat di pejabat MN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC)," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat lokasi paip dasar sungai Tangki Berangan berdekatan Pulau Sekati di sini semalam.
Walau bagaimanapun katanya, tarikh khusus mesyuarat berkenaan belum diputuskan lagi ketika ini.
03 Sep 21
470
Alat Sambung Paip Dari Itali, Australia Tiba Sabtu Ini
KUALA TERENGGANU, 2 September - Alat penyambungan paip dari Itali dan Australia yang akan digunakan dalam pembaikan insiden air berangan dijangka tiba di Terengganu pada 4 September ini.
SATU dalam kenyataan hari ini berkata, Coupler PN16 merupakan medium utama penyambungan dan komponen berkenaan tidak boleh didapati di pasaran terbuka kerana ia produk khas industri air dari negara pengeluar.
“Proses pembelian daripada pembekal dari negara Itali dan Australia telah selesai dan penghantaran barang sedang melalui 'Air-Freight Kargo'.
“Penghantaran mengambil masa selama 10 hari dan dijangka tiba pada 4 September 2021 di Terengganu,” jelas SATU.
Kemajuan kerja di kilang fabrikasi.
Dalam perkembangan sama, SATU memaklumkan kemajuan kerja di kilang fabrikasi bagi pemasangan dan penyambungan paip turut berjalan di kilang di Selangor.
“Kaedah kali ini tertumpu kepada kerja-kerja pemasangan di kilang yang bertempat di Selangor sebelum dihantar ke tapak pembaikian bagi fasa seterusnya.
“Beberapa fasa kerja yang lain juga dilaksanakan secara serentak sementara menunggu beberapa peralatan penyambungan penting seperti Coupler PN16 dan lain-lain untuk sampai ke Malaysia,” tambah SATU.
Sementara itu, Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) berkata, proses pembaikan di dasar sungai sedang giat dilaksanakan pihak SATU dan dijangka penggantian paip yang menelas kos RM2.5 juta akan dapat dilaksanakan dan dijangka siap pada 12 September.
"Kerajaan akan menggunakan alat penyambung paip yang lebih tahan dan berkualiti ditempah dari Itali serta Australia," ujar beliau selepas meninjau operasi pembaikan paip pecah di Jeti Feri Kg Losong dan lawatan ke Loji Bukit Berapit, di sini hari ini.
02 Sep 21
3111
Kerajaan Negeri Peruntuk RM2.5 Juta Baiki Paip Rosak
KUALA TERENGGANU, 2 September - Kerajaan negeri memperuntukkan RM2.5 juta bagi membaik pulih paip dasar sungai Tangki Berangan yang pecah dan patah dalam dua kejadian berasingan.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, usaha kini giat dilaksanakan pihak Syarikat Air Terengganu (SATU) dan dijangka penggantian paip akan dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat seperti dirancang.
“Kita menjangkakan penggantian penyambung paip yang ditempah dari Australia dan Itali itu dapat dilaksanakan mengikut jadual asal dengan masalah air tamat seperti ditetapkan pada 12 September,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat lokasi paip dasar sungai Tangki Berangan berdekatan Pulau Sekati di sini hari ini.
Tambah beliau lagi, alat penyambung paip baharu berkenaan mempunyai daya ketahanan tinggi dan lebih fleksibel daripada yang lama.
Terdahulu, gangguan bekalan air yang membabitkan 28,700 akaun pengguna di dua daerah, iaitu Kuala Terengganu dan Kuala Nerus berpunca daripada insiden paip pecah kali kedua di dasar Sungai Terengganu.
SATU memaklumkan, pasukan teknikal berjaya mengesan masalah itu pada paip sama bersaiz 1,200 milimeter (mm), namun di tempat berlainan daripada yang sudah dibaiki sebelum ini.
02 Sep 21
774