Artikel "Semasa" Terkini
Penternak Kerapu Hybrid Lega Kerajaan Hulur Bantuan
SETIU, 31 Mac - Penternak ikan kerapu hybrid yang terkesan dengan peralihan monsun timur laut baru-baru ini mendapat perhatian Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir.
Shaharizukirnain berkata, ramai golongan terbabit yang mengalami kerugian termasuk kematian ternakan diberi bantuan agar kesusahan dapat diringankan.
"Saya menyelami permasalahan akibat peralihan musim yang mana mengakibatkan kematian dan kerugian kepada hasil ternakan tuan-tuan semua.
"Sedikit sumbangan ini diharap membantu menampung kerugian yang dialami dan saya berharap kita semua menerima ujian ini dengan hati yang terbuka," katanya.
Sangkar ikan di Sungai Kampung Gong Batu, Setiu
Beliau berkata demikian ketika ucapan ringkas pada majlis penyampaian bantuan kepada penternak kerapu hybrid yang terkesan akibat monsun timur laut di Jeti Nelayan Gong Batu, Setiu semalam.
Hadir sama, Ketua Penolong Pegawai Daerah (KPPD), Muhamad Azmidi Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Gong Batu, Aziz Mohd.
Pada majlis itu, seramai 30 orang penternak menerima bantuan wang tunai di bawah peruntukan Ahli Parlimen Setiu.
Sementara itu, Mohd Fajri Ab Rahim, 35 salah seorang penternak yang ditemui berkata, dia sudah 10 tahun terlibat dengan penternakan ikan kerapu hybrid dan kejadian berlaku pada akhir dan awal tahun ini berada luar jangkaannya.
"Disebabkan oleh faktor air yang tidak mampu untuk spesis ikan bertahan dalam perubahan air pada peralihan monsun.
Mohd Fajri Ab Rahim, 35
31 Mar 21
301
Terengganu Gerak Sukarelawan Ke Rumah Bantu Daftar Suntik Vaksin
MARANG, 31 Mac - Kerajaan negeri menggerakkan kira-kira 300 sukarelawan dari rumah ke rumah dan tempat tumpuan awam bagi membantu orang ramai khususnya warga emas mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan Dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, sukarelawan yang terdiri daripada gabungan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) itu merupakan inisiatif kerajaan bagi meningkatkan kadar pendaftaran vaksin COVID-19 di negeri ini yang masih rendah.
Katanya, sukarelawan pendaftaran vaksin COVID-19 telah dilancarkan secara rasmi pada Isnin dan mula bergerak semalam.
"Warga emas dan mereka yang mempunyai penyakit tidak aktif di luar, mereka hanya tinggal di rumah serta kurang mendapat maklumat.
"Jadi, sukarelawan daftar vaksin COVID-19 ini akan bergerak dari rumah ke rumah dan tempat tumpuan awam untuk bantu mereka daftar secara terus melalui dalam talian.
"Kita harap orang ramai dapat beri kerjasama jika sukarelawan ini datang ke rumah. Jika ragu-ragu boleh minta mereka tunjukkan kad pengesahan sukarelawan kerana setiap mereka diberi kad itu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Projek Perumahan Mampu Milik (RMM) Bukit Gasing II yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Tapak RMM Bukit Gasing II, semalam.
Dr Alias berkata, selain mengunjungi rumah ke rumah pihaknya turut membuka kaunter pendaftaran di lokasi tumpuan ramai seperti pasar awam, pasar raya, pasar malam dan pasar pagi bagi memberi penerangan serta membantu masyarakat mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19.
Katanya, agensi seperti pejabat daerah dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) sebelum ini ada membantu memberi penerangan mengenai vaksin.
"Diharap dua strategi baharu ini dapat meningkatkan lagi jumlah pendaftaran vaksin COVID-19 di negeri ini," katanya.
31 Mar 21
925
Transaksi Jual Beli Dalam Talian Melonjak
KUALA BERANG, 30 Mac- Transaksi aktiviti jual beli dalam talian melonjak ketara sehingga RM2.5 billion tahun lalu, berbanding RM1.7 billion pada 2019, selaras peralihan kepada trend perdagangan dalam talian kesan pandemik COVID-19.
Malah, jumlah pendaftaran perniagaan dalam talian yang direkodkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) juga menunjukkan peningkatan sehingga 240,000 tahun lalu berbanding 40,000 setahun sebelum ini, menjadikan keseluruhan 489,958 perniagaan dalam talian yang mendaftar sehingga 2020.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, jumlah itu melonjak ketara berbanding hanya 243,560 perniagaan dalam talian yang berdaftar dengan SSM sehingga 2019.
"Pandemik COVID-19 yang menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terpaksa dilaksanakan sejak tahun lalu membuatkan peniaga dan pengguna beralih kepada aktiviti jual beli dalam talian.
"Ia satu perkembangan yang sangat baik dalam pada kita menghadapi cabaran pandemik COVID-19 ini kerana mempercepatkan penerimaan dan penggunaan terhadap digitalisasi dalam sektor peruncitan selaras hasrat kementerian," katanya selepas Program Malaysia Prihatin di Dewan Sivik Ajil, di sini.
Turut hadir Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu, Saharuddin Mohd Kia.
Selain itu Rosol berkata, rekod juga menunjukkan transaksi e-wallet melonjak sehingga lebih 100 peratus iaitu daripada RM300 juta pada 2019 kepada RM600 juta tahun lalu.
Mengulas mengenai kecenderungan baharu masyarakat pengguna itu, Rosol berkata, penawaran harga yang lebih kompetitif berbanding jual beli secara fizikal merupakan antara faktor perniagaan dalam talian semakin mendapat tempat di hati pengguna.
Katanya ramai peniaga terutama daripada sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana yang memiliki tapak perniagaan secara fizikal juga semakin beralih kepada platform e-dagang yang terbukti membantu melonjakkan pulangan perniagaan mereka.
Sementara itu mengulas mengenai Program Malaysia Prihatin, Rosol berkata, ia adalah platform untuk menjelaskan dan memberi maklumat tepat kepada masyarakat mengenai usaha Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri untuk menangani pandemik COVID-19.
"Di Terengganu, saya bersama Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato' Ahmad Amzad Hashim akan menjelajah ke lapan kawasan Parlimen di Terengganu untuk bertemu masyarakat dan menyampaikan fakta dan kebenaran mengenai usaha kerajaan menangani COVID-19 kepada masyarakat, " katanya.
30 Mar 21
192
Empat Daerah 'Juara Bersama' Liga Darul Iman
KUALA TERENGGANU, 30 Mac – Empat daerah dinobatkan juara bersama Kejohanan Bola Sepak Liga Darul Iman Piala Menteri Besar Terengganu 2019 setelah perlawanan suku akhir yang dijadualkan pada April 2020 tidak dapat dilaksanakan akibat pandemik COVID-19.
Kemenangan itu menyaksikan Persatuan Bola Sepak Daerah Dungun, Kemaman, Setiu dan Besut masing-masing berjaya membawa pulang wang tunai RM4,500.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kejohanan peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) pada tahun 2019 telah bermula seawal Julai dan berakhir November.
“Manakala bagi peringkat parlimen kejohanan ini telah bermula seawal bulan Oktober 2019 dan berakhir pada bulan Februari 2020 sebelum disambung untuk kejohanan di peringkat negeri pada bulan Mac tahun lepas namun terpaksa dibatalkan.
“Untuk makluman semua, pada tahun 2019, Kerajaan Negeri telah membelanjakan sebanyak RM300 ribu bagi membantu pelaksanaan ini bermula di peringkat DUN, Parlimen dan Negeri.
“Jika diizinkan pada tahun 2021 kita akan kembali melaksanakannya namun masih menunggu perkembangan terkini daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS),” katanya semasa berucap dalam Majlis Penyampaian Bola Sepak Liga Darul Iman Piala Menteri Besar Terengganu di Paya Bunga Hotel hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Merangkap Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu, Rashdi Hamat, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Ahmad Shahrizal Yahaya dan Pengarah Urus Setia Belia, Sukan Dan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT), Mohd Nasir Abdul Razak.
Tambahnya, cadangan tarikh Kejohanan Bola Sepak Liga Darul Iman seterusnya adalah pada bulan Julai 2021 jika kelonggaran diberikan.
Sementara itu, Wan Sukairi turut mengulas mengenai peruntukan RM2 juta melalui Belanjawan 2021 bagi menjayakan program sukan komuniti melibatkan beberapa sukan iaitu bola sepak, sepak takraw, badminton dan bola jaring.
“Berdasarkan potensi dan perkembangan sukan bola sepak yang ada, saya percaya Kerajaan Negeri akan terus memberi sokongan kepada program ini dan lain-lain lagi kejohanan yang dianjurkan. Program ini akan diselaras melalui UBSNT,” jelasnya.
30 Mar 21
909
238 RMM Bakal Dibina Di Bukit Gasing
MARANG, 30 Mac - Sebanyak 238 Rumah Mampu Milik (RMM) akan dibina di atas tanah seluas 7.36 hektar di Kampung Bukit Gasing di sini dalam masa terdekat.
Pengerusi, Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan Dan Alam Sekitar Negeri, Dr. Alias Razak berkata, PBH Trading & Contraction Sdn. Bhd merupakan kontraktor yang dilantik untuk melaksanakan projek dengan harga kontrak RM34 juta dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun.
Katanya, RMM Bukit Gasing II merupakan projek perintis kerajaan negeri yang menawarkan dua kategori rumah teres iaitu RMM jenis A sebanyak 173 unit dan RMM jenis B melibatkan 65 unit.
“Rumah jenis A berkeluasan 800 kaki persegi merangkumi tiga bilik tidur dan dua bilik air mendapat pembiayaan sewa beli daripada Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dan dijual dengan harga RM80,000 untuk golongan B40 yang berpendapatan isi rumah RM3,500 ke bawah.
“Manakala RMM jenis B yang yang berkeluasan bersih 900 kaki persegi akan memberikan peluang kepada rakyat negeri Terengganu berpendapatan sederhana iaitu mereka yang berpendapatan isi rumah sehingga RM 7,000 untuk memiliki rumah sendiri pada kadar harga jualan ditetapkan RM185,000 melalui bank komersial,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Projek Perumahan Mampu Milik (RMM) Bukit Gasing II yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Tapak RMM Bukit Gasing II, hari ini.
Katanya, projek pembangunan perumahan mampu milik di Bukit Gasing ini juga akan dibina berdasarkan ciri-ciri dan spesifikasi untuk konsep perumahan patuh syariah yang dinamakan sebagai Rumah Darul Iman (RAHMAN).
30 Mar 21
1482
Tambah Tong Sampah, Elak Persekitaran Tercemar
KUALA NERUS, 31 Mac - Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepuh mengambil inisiatif menambah sejumlah tong sampah bagi mengelakkan persekitaran tercemar dengan bahan terbuang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim berkata, inisiatif itu juga dibuat bagi menjayakan lagi Kempen Tepoh Ceria yang telah dilancarkan sebelum ini.
"Saya juga mengharapkan tanggungjawab daripada penduduk untuk bersama-sama menjaga kebersihan dengan tidak melakukan perkara yang boleh merosakkan kemudahan awam tersebut seperti membakar dan memecahkanya," katanya selepas penambahan tong sampah tersebut.
Jelas beliau, sebanyak 60 unit tong sampah telah dibeli dan diagihkan kepada pengguna yang memerlukan penambahan kemudahan awam tersebut.
'Mobile Garage Bin' yang berkapasiti 660 Liter itu akan diletakkan dalam kawasan yang mempunyai kadar penyerahan sampah yang tinggi.
"Sebelum ini, sebanyak 30 unit tong sampah berkapasiti sama telah berjaya diagihkan untuk kegunaan pengguna dalam kawasan DUN Tepoh.
"Jumlah tong sampah yang telah berjaya diagihkan oleh PKM adalah sebanyak 90 unit keseluruhannya. Jumlah tersebut akan menyokong fasiliti tong sedia ada yang telah dibekalkan oleh Majlis Perbandaran Kuala Terengganu," ujarnya.
Kempen kebersihan Tepoh Ceria yang telah bermula sejak Julai 2019 lalu telah digerakkan dan terus diperkasakan dari semasa ke semasa.
Inisiatif penambahan itu juga adalah sebahagian daripada fokus utama untuk menjayakan lagi kempen tersebut.
30 Mar 21
1477
Terengganu Agih Tablet Percuma Untuk Pelajar
KUALA TERENGGGANU, 30 Mac - Sebanyak 1,600 tablet sedang diagihkan secara berperingkat kepada pelajar terpilih bagi membantu melancarkan proses pembelajaran mereka sama ada di rumah mahupun di sekolah.
Agihan secara percuma itu antara peruntukan Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT) 2021 berjumlah RM19 juta untuk tujuh insentif.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan, dan Pendidikan Tinggi negeri, Saiful Bahari Mamat berkata, sebanyak 15 tablet telah diagihkan pada hari ini sebagai tanda simbolik.
Katanya, manakala proses agihan baki tablet akan diselaraskan oleh Terengganu Inc dan Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing secepat mungkin.
“Saya suka mengingatkan kepada pelajar, jangan salah gunakan apa yang diagihkan, termasuk untuk permainan video alam maya dan leka melayari laman sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap majlis Penyerahan Sumbangan Tablet Kepada Murid Sekolah di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Menurutnya, inisiatif itu diambil selepas kerajaan memperkenalkan Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PDPR) yang mewajibkan ibu bapa menyediakan perkakasan komputer, pencetak dan juga perkhidmatan internet di rumah.
“Menyelami kesusahan dan beban yang ditanggung oleh rakyat inilah menyebabkan kerajaan negeri mencetus idea memberi bantuan tablet.
“Pemberian tablet ini dilihat sebagai langkah yang tepat dalam usaha menyediakan medium pembelajaran kepada murid sekolah,” katanya.
Jelas Saiful, ini kerana tablet hadir dengan saiz yang kompak serta mudah dibawa.
"Ia lebih ringan dan mudah dikendalikan berbanding laptop dan merupakan peranti yang kompetitif untuk memenuhi keperluannya.
“Matlamat agihan tablet ini adalah untuk memberi kemudahan kepada murid sekolah mengakses pelbagai sumber rujukan bagi tujuan pembelajaran dan diharap tidak lagi ketinggalan dalam menimba ilmu.
“Kerajaan negeri juga berharap dengan pelbagai kemudahan yang telah disediakan termasuklah dengan kemudahan tablet ini, akan dapat melahirkan murid yang lebih cemerlang dan berdaya saing,” katanya.
30 Mar 21
3611
Ketegasan Ayah Bawa Kejayaan Kepada Johan Tilawah Dungun
DUNGUN, 31 Mac- Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Dungun 2021, Muhamad Mustafa Ali, 31 berterima kasih kepada arwah ayahnya Allahyarham Haji Ali Yahya yang tegas dan bersungguh-sungguh dalam mendidik beliau dan adik-beradik yang lain.
Mustafa berkata, tanpa mengira tempat dan masa bila arwah bapa ada kelapangan maka salah seorang adik beradiknya akan dipanggil untuk untuk mengaji sambil bertaranum.
"Ayah berniaga di pasar malam, jadi jika tiada pelanggan, mana ada anak yang ikut akan dipanggil masuk van (untuk mengaji dengan bertaranum), malah ada kalanya sedang main guli dengan kawan-kawanpun ayah panggil," ceritanya yang memperolehi markah sebanyak 90 peratus sekali gus berjaya mendahului tiga lagi peserta lain.
Dalam majlis yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan Dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat di Dewan Jabatan Kerja Raya, Daerah Dungun itu menyaksikan keluarga beliau masih mendominasi tiga tempat teratas samada kategori qari ataupun qariah.
Tempat kedua kategori lelaki dimenangi sepupunya, Mohd Qasim Husni dan adiknya, Yahya Ali mendapat tempat ketiga.
Turut sama hadir, Pegawai Daerah Dungun, Anuar Awang, Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik, ADUN Rantau Abang, Alias Harun dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Dungun, Nizam Che Mat.
Sementara itu, kategori wanita, saudara perempuannya Siti Nasuha Ali telah dinobatkan sebagai johan qariah mengalahkan saudara perempuan yang lain, Norasid @Norasiah Ali, naib johan dan Noor Azizah Ali di tempat ketiga.
Sementara itu, Satiful memuji Allahyarham Haji Ali yang meninggalkan anak-anak yang terus menguasai persada tanah air di dalam bacaan Al-Quran.
"Tahniah kepada lapan orang peserta yang mengambil bahagian, enam daripada mereka adalah daripada Kampung Che Lijah, tempat lahir ramai qari dan qariah sehingga di peringkat antarabangsa yang merupakan anak-anak allahyarham Haji Ali," ujarnya.
30 Mar 21
576
Pasar Baharu Gong Parit Beroperasi 1 April
KUALA TERENGGANU, 29 Mac – Pasar baharu di Kampung Gong Parit akan beroperasi bermula 1 April ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi memaklumkan, pasar baharu itu bakal memuatkan 57 tapak perniagaan berbanding 19 tapak di pasar sedia ada.
“Kerajaan negeri sentiasa komited dalam membantu dan memberikan kebajikan kepada rakyat khususnya para peniaga untuk terus berdikari dalam menjana pendapatan.
“Saya berharap dengan pembinaan tapak baharu yang lebih selesa ini akan dapat memajukan lagi perniagaan semua yang berniaga di sini,” katanya dalam ucapan perasmian majlis perasmian tapak itu di lokasi berkenaan, baru-baru ini.
Jelasnya, pembukaan pasar baharu tersebut memastikan keselesaan peniaga serta pembeli terjaga selain menggantikan tapak lama yang lebih kecil bagi memberi peluang kepada lebih ramai penduduk untuk berniaga.
"Konsep yang sebenar dalam memberikan kebajikan kepada rakyat ialah dengan memberikan kail dan bukannya memberikan ikan.
“Sekiranya kita berikan ikan kepada rakyat, ikan tersebut akan habis dimakan, namun sekiranya kita memberikan kail, maka rakyat akan berdikari dalam mendapatkan mata pencarian," katanya.
Tapak pasar lama yang sempit dan mengancam keselamatan pengguna
29 Mar 21
2487
Jiran Harus Lapor Kes Keganasan Rumah Tangga, Dera
KUALA TERENGGANU, 29 Mac - Jiran tetangga boleh membantu membendung kes keganasan rumah tangga dan penderaan di kawasan kediaman mereka dengan bertindak melaporkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan dan bantuan
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff menyarankan supaya orang ramai mengambil berat dan bertanggungjawab kepada jiran tetangga bagi mengelakkan kes tersebut terus meruncing.
“Sekiranya ada situasi mencurigakan, pihak jiran perlu laporkan kepada pihak berkuasa dengan segera.
"Kecaknaan jiran dan ahli keluarga adalah penghalang supaya kes keganasan rumah tangga sebegini tidak berlaku,” jelasnya ketika bersiaran di Tv Darul Iman baru-baru ini.
Sementara itu, beliau menjelaskan banyak sebab berlakunya jenayah itu antaranya berpunca daripada ibu bapa.
“Antara kes-kes yang mengejutkan kami seperti seorang pemandu jengkaut didakwa menembak isterinya di dada ketika tidur di Kota Tinggi dan kematian Zubaidi Amir Qusyairi Abdul Malek berusia tujuh tahun dipercayai didera Ibu kandung dan bapa tiri di Melaka.
“Banyak sudah berlaku jenayah sebegini dimana ia tidak perlu wujud, sebagai sorang Islam kita perlu ingat tanggungjawab dengan Allah SWT.
“Bukan sekadar makan minum dan pakaian ahli keluarga, tetapi kebajikan, keselamatan dan tanggungjawab perlu dididik dalam kalangan rumah tangga,” katanya.
Mengulas tentang usaha pihak kementeriannya, Siti Zailah memaklumkan, talian untuk aduan telah disalurkan kepada agensi berkatian seperti Polis dan Pegawai Pelindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan keganasan dan isu penderaan boleh hubungi Talian bebas tol Kasih 15999, WhatsApp 0192615999 atau ke melapor kepada balai polis berdekatan,” katanya lagi.
29 Mar 21
675